MOTIVASI AJARI ANAK TENTANG ADAB

Hari ni tergerak hati nak kongsi bab adab. Anak ini cerminan diri kita sebagai ibu bapa. Sebagaimana perlakuan kita, begitu lah anak - anak akan ikut dan turuti.

Tidak dapat tidak kita juga ada kekurangan dalam perlakuan, info ini mungkin dapat membantu kita dalam berusaha mengajar Adab kepada anak-anak kita.


Belajar untuk jadi sahabat yang baik. Menjaga hubungan sesama manusia sangat di tuntut dalam islam. 

Habluminannas dan Habluminallah adalah 2 hubungan yang tidak boleh di pisahkan. Perlu untuk kita sentiasa menjaga kedua-duanya dalam segala urusan kehidupan seharian.

Apa itu Habluminnas dan Habluminallah?
Habluminannas bererti hubungan dengan manusia manakala Habluminaallah  bererti hubungan dengan Allah..

Allah swt memerintahkan kita menghubungkan apa yang disuruh kita hubungkan dan jangan pisahkan. Antaranya hubungan kita dengan Allah dan RasulNya, dengan keluarga dan kaum kerabat, dengan jiran dan seluruh masyarakat. Hablum minallah (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan sesama makhluk).
 

ضُرِبَتۡ عَلَیۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ أَیۡنَ مَا ثُقِفُوۤا۟ إِلَّا بِحَبۡلࣲ مِّنَ ٱللَّهِ وَحَبۡلࣲ مِّنَ ٱلنَّاسِ

 
"Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah (hubungan dengan Allah) dan adanya sebab dari manusia (hubungan sesama manusia)..."
[Surah Aali Imran 112]
 

Waktu Tidur antara waktu yang sangat penting untuk anak-anak mula refresh diri mereka sebelum bermula hari esok.

Sangat penting untuk mereka mengakhiri hari mereka dengan melakukan adab tidur seperti berwudu dan berdoa agar tidur mereka lebih sempurna serta melahirkan insan yang positif seawal bangun tidur.

Berdasarkan hadith Al Baro’ bin ‘Azib, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ

“Jika kamu mendatangi tempat tidurmu maka wudhulah seperti wudhu untuk solat, lalu berbaringlah pada sisi kanan badanmu” (HR. Bukhari No. 247 dan Muslim No. 2710)


Sebelum memulakan suapan sebaiknya mulakan dengan bacaan basmalah dan doa terlebih dahulu agar makanan kita menjadi berkat dan
 membentuk darah daging yang baik. Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

Maksudnya: “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (Bismillah). Sekiranya dia terlupa (menyebut nama Allah) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” 
(HR al-Tirmizi, hadis hasan sahih)

Hadis lain juga ada menyebutkan, daripada Umar bin Abi Salamah katanya:

كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ: يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

Maksudnya: "Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Nabi SAW, tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Nabi SAW berkata kepadaku: “Wahai anak, sebut nama Allah (baca Bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu.”
(HR Bukhari, hadis sahih) 



Sewajarnya ibu ayah mula perkenalkan anak-anak dengan Masjid seawal usia. Mereka perlu di didik untuk mencintai rumah Allah juga mengetahui bahawa masjid adalah tempat yang wajar di imarahkan dan tempat bersosial. 

Pastinya di pusat ibadah ada adab untuk kita ketahui dan ajari anak kita supaya kawasan tersebut lebih tenteram dan selesa untuk jemaah lain yang bersama.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَشِّرْ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat”. [Riwayat Abu Daud, no Hadith 474, al-Tirmizi, no Hadith 207 dan Ibn Majah, no. Hadith 773][al-Albani menghukum hadith ini sahih]

Oleh yang demikian setiap langkah menuju ke masjid sama ada pada waktu pagi atau petang akan sentiasa mendapat pahala daripada Allah SWT.




Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذَا دَخَلَ الْخَلَاءَ قَالَ : اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبْثِ وَالْخَبَائِث.

“Bahawasanya Rasulullah SAW jika hendak masuk ke tempat pembuangan air, maka beliau berkata (berdoa): “Allahumma inniy audzubika minal khubtsi wal khobaaits”

(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari para syaitan jantan, dan betina). (HR. Jama’ah)


Rasulullah SAW bersabda:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذَا خَرَجَ مِنْ الْخَلَاءِ قَالَ :” غُفْرَانَكَ”.

“Adalah Nabi SAW Jika keluar dari tandas, maka baginda berdoa, GHUFROONAKA (Aku memohon ampunanMu).” (HR. Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan At-Tirmidzi).

Dalam kita berbicara soal ajaran islam dalam tandas ini, Rasulullah S.A.W merupakan contoh tauladan yang paling terbaik dan wajib diikuti. Adab ini bukan sahaja untuk umat islam tetapi baik untuk semua makhluk. Ini kerana islam itu sendiri bersifat syumul



Rasulullah saw bersabda;
“Apabila seorang bertamu lalu minta izin (mengetuk pintu atau mengucapkan salam) sampai tiga kali dan tidak ditemui (tidak dibukakan pintu), maka hendaklah dia pulang.” (HR Bukhari).

Islam sangat mengambil berat berkenaan dengan menjadi tetamu juga memuliakan tetamu. Berdasarkan hadis Nabi SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ibu Ayah perlu ketahui adab-adab ini supaya anak-anak lebih peka dalam mengetahui adab sebagai tetamu.

Allah SWT berfirman, “Jika kamu tidak menjumpai seorang pun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: Kembalilah, maka hendaklah kamu kembali. Itu bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [TMQ An-Nuur(24): 28]


Betapa pentingnya perihal adab dan akhlak dalam kehidupan seharian sehinggakan ada seorang alim yang mengajarkan kepada muridnya dengan memberikan perumpamaan, “orang yang berilmu tanpa adab ibarat seutas kalung berlian yang dipakaikan ke leher seekor babi.”

Perumpamaan ini diibaratkan jika seseorang itu mempunyai ilmu setinggi langit namun meletakkan nilai adab serendah bumi, maka ia adalah sia-sia.

Letaklah adab sebagai keutamaan dalam kehidupan seharian kita. Adab itulah yang mencerminkan sisi islam yang cukup istimewa.

 


Comments